
Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), menjangka mengukuhkan lagi segmen perniagaan kad kreditnya berikutan perkongsian strategik yang dijalin dengan e-pay Gateway Sdn Bhd (e-pay Gateway), iaitu penyedia penyelesaian prabayar elektronik.
Pengurus Besar Perbankan Penggunanya, Wan Ismail Wan Yusoh, berkata perkongsian itu sejajar matlamat jangka panjang BIMB untuk meluaskan lagi penggunaan kad kredit yang mengguna cip berdasarkan piawaian European Master Card Visa (EMV).
Beliau berkata, dengan sokongan e-pay Gateway itu, BIMB yan kini mempunyai 600,000 pemegang kad kredit kini boleh memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan bilangan pemegang kad kredit berasaskan EMV, di samping meluaskan rangkaian rakan niaga bank itu.
Dalam tempoh enam bulan lalu, kami sudah memasang kira-kira 1,000 terminal yang mempunyai keupayaan bacaan kad tunai Meps Cash, urus niaga debit dan kad kredit EMV.
Sebagai tambahan kami mensasar menambah 500 terminal baru menjelang akhir tahun ini dengan 70 peratus daripadanya akan dipasang di bandar utama. Ia akan dilaksanakan oleh e-pay Gateway,katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian perkongsian antara BIMB dengan e-pay Gateway di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, BIMB diwakili wan Ismail, manakala e-pay Gateway diwakili Pengarah Eksekutif e-pay (M) Sdn Bhd, Datuk Hassan Said.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar Teknologi Maklumat BIMB, Jamil Hassan dan Pengurus Kanan Jualan e-pay Gateway, Mansor Abdul Rahman.
Wan Ismail berkata, perkongsian dengan e-pay Gateway itu membabitkan kontrak dua tahun dengan opsyen tambahan dua tahun.
Ia bukan hanya untuk tempoh itu saja malah akan diteruskan bagi jangka panjang,katanya.
Beliau berkata, program pengembangan yang dilaksanakan dengan sokongan e-pay Gateway itu dijangka mampu meningkatkan pendapatan bahagian perniagaan kad kredit BIMB antara 10 hingga 20 peratus dalam tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2005.
Wan Ismail berkata, BIMB bercadang meluaskan perniagaan kad kreditnya dengan mewujudkan terminal yang menggunakan teknologi mudah alih tidak lama lagi bagi meneroka sepenuhnya potensi pasaran industri itu.
Ia adalah antara peluang baru perniagaan yang boleh diterokai dan kami sedang mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakannya,katanya.
Beliau berkata, bahagian perbankan pengguna kini menyumbang 50 peratus kepada pendapatan BIMB dan ia dijangka berkembang antara 20 hingga 25 peratus dalam tahun kewangan semasa.
Sementara itu, Wan Ismail berkata, BIMB yang ketika ini mempunyai 87 cawangan di seluruh negara sudah memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia untuk membuka tiga cawangan baru.
Kami sudah mengenal pasti tiga lokasi strategik iaitu di Ampang Point dan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur dan satu di Johor,katanya.
From Berita Harian |