
e-pay (M) Sdn Bhd, penyedia penyelesaian prabayar elektronik pertama tempatan, semalam, menandatangani perjanjian dengan pengendali telefon selular utama negara, Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom) bagi menyediakan perkhidmatan baru isian semula prabayar menerusi 'e top-up'. e-pay diwakili Pengarah Eksekutifnya, Mohd Hassan Said manakala Celcom diwakili Naib Presiden Kanannya, Zubir A Rasid.
Perjanjian itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif e-pay, Tony Soh Chuan Seng dan Naib Presiden Celcom, Azhar Abdul Wahab. Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian itu, Mohd Hassan berkata, pengenalan e top-up adalah lagi satu usaha berterusan e-pay dalam menyediakan kemudahan kepada pengendali perkhidmatan telefon selular berhubung teknologi terkini dalam perkhidmatan prabayar.
Menurutnya, menerusi perkhidmatan baru yang diperkenalkan itu, pemilik telefon selular 019 boleh mengisi semula baki yang masih ada dalam kad prabayar dalam tempoh kira-kira 10 saat saja. Beliau berkata, antara kebaikan yang didapati dalam sistem berkenaan ialah ia menambah nilai elektronik dalam talian dengan lebih selamat dan bebas daripada kesilapan. "Permohonan untuk mendapatkan kad e top-up boleh didapati di 3,700 kedai terpilih dan ia diberi secara percuma kepada pemilik telefon selular prabayar 019.
"Apa yang perlu dilakukan oleh mereka ialah mengisi borang yang disediakan dan dihantar kepada e-pay untuk diproses. Selepas kira-kira dua minggu, mereka akan menerima kad e top-up yang sudah diisi dengan nombor telefon selular mereka. "Selepas menerima kad itu, mereka hanya perlu mengunjungi 3,700 kedai terpilih yang mempunyai terminal isian semula untuk menambah jumlah baki bagi membuat panggilan pada bila-bila masa. Terminal isian semula itu akan ditempatkan di kawasan yang menjadi tumpuan awam termasuk rangkaian kedai 7-Eleven dan stesen minyak," katanya.
From Harian Metro, Jumaat, 21 November 2003 . |